Powered by Blogger.

Sejarah Sekolah



Sejarah Sekolah…
B
ermula daripada tapak tanah belukar seluas 10.5 ekar dengan anggaran RM480,000.00, SMK Datuk Hj. Mohd Nor Ahmad mula dibina pada tahun 1968. Jarak  sekolah ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas ialah sejauh 11 km manakala dari pusat bandar Georgetown ialah 9 km. Pada 1 Januari 1969, sekolah ini memulakan sesi persekolahannya yang pertama dengan dikenali sebagai Gelugor Secondary School. Pada tahun 1979, sekolah ini telah ditukar nama kepada Sekolah Menengah Gelugor selaras dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah. Pada tahun 1990, buat kali kedua nama sekolah ini ditukar lagi menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Mohd Nor Ahmad (SMKDHMNA) sempena nama seorang tokoh pendidik, pejuang bangsa, dan pengasas UMNO Pulau Pinang, iaitu Datuk Haji Mohd Nor Bin Ahmad.
       Pada peringkat awal, sekolah ini dijalankan dalam satu sesi. Pada tahun 1986 hingga Mac 1996 ditukar kepada dua sesi dan kemudian ditukar semula menjadi satu sesi selepas Mac 1996 hinggalah ke hari ini. Pada asalnya sekolah ini mempunyai 4 blok utama,  iaitu blok A menempatkan bilik guru dan 14 buah bilik darjah, blok B terdiri daripada perpustakaan,  blok C pula terdiri daripada 8 buah bilik darjah, 2 bilik jahitan dan masakan manakala blok D merupakan bengkel perusahaan.



Bertukar Wajah...
P
ada tahun 1972, beberapa bangunan tambahan telah dibina untuk menampung pertambahan pelajar. Pada 1 Januari 1993, Asrama Desa ‘Hurun Ain’ telah diwujudkan. Penubuhan asrama desa ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada para pelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah. Satu blok khas asrama desa telah disediakan pada tahun 2007. Penghuni di asrama ini hanya terdiri daripada pelajar-pelajar perempuan sahaja.
Kini sekolah ini mempunyai 9 blok yang dilengkapi dengan kemudahan bilik darjah, 7 makmal sains, 2 makmal komputer, dewan besar, mini teater, bilik guru, stor sukan, pusat sumber, bilik jahitan & masakan (ERT), surau, bengkel kemahiran hidup, bengkel menservis motosikal, bilik katering & penyajian,kedai koperasi, padang, kantin  dan lain-lain lagi.
Di samping itu, sebuah bangunan (blok D) turut diubah suai menjadi bilik mesyuarat yang lebih cantik dan selesa untuk kemudahan warga sekolah menjalankan mesyuarat dan aktiviti-aktiviti lain.  Ianya juga sering menjadi pilihan JPN dan pihak yang lain sebagai tempat bermesyuarat bagi beberapa aktiviti kurikulum dan kokurikulum di peringkat daerah dan negeri.
Sejarah Baru...
K
ini, SMKDHMNA terus menapak dengan     membawa sinar yang baru kepada para pelajarnya. Beberapa subjek baru telah diperkenalkan, antaranya, pembelajaran Literasi Komputer, penubuhan 2 kelas MPV iaitu Katering & Penyajian dan Menservis Motosikal serta penubuhan Kelas Aliran Agama. Pada tahun 2009, sekolah ini telah dipilih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang untuk dijadikan sekolah citra mutiara (showcase) iaitu Pendidikan Seni Visual, MPV-Menservis Motosikal dan Litar Parcourse. Bilik Pendidikan Seni telah dinaik taraf dan diwujudkan satu galeri seni untuk menyimpan karya-karya seni para pelajar. Pembinaan litar parcourse pula telah memberi ruang kepada para pelajar supaya lebih sihat dan cergas dan secara tidak langsung menaikkan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum. Dengan perubahan dan suasana yang baru ini, diharapkan warga SMKDHMNA akan lebih berusaha untuk mengejar kejayaan hidup dan sekaligus memberi kecemerlangan kepada SMK Datuk Haji Mohd Nor Ahmad.


0 comments:

Post a Comment

Firefly Pointer